27/07/2021

Ahmad Hanizam

Kebebasan Kewangan Untuk Semua!

Perancangan teliti persaraan pastikan hari tua lebih selesa

KUALA LUMPUR: Masyarakat disaran mendapatkan pengetahuan asas kewangan dan merancang persaraan daripada awal bagi memastikan kehidupan berjalan lancar serta berupaya memberi perlindungan kepada diri dan keluarga pada masa depan. 

Pakar Kewangan Pengguna, Prof Dr Mohamad Fazli Sabri, berkata individu juga perlu mengadakan simpanan kecemasan dan tidak terikut-ikut dengan gaya kehidupan orang lain. 

Beliau berkata, perkara asas adalah memiliki sekurang-kurangnya enam hingga sembilan bulan simpanan kecemasan daripada pendapatan kasar dan mempunyai matlamat singkat, sederhana serta jangka panjang, sebelum mempunyai keinginan melabur. 

“Sering kali orang rambang mata dengan trend membeli-belah dalam talian dan ada yang mudah terpengaruh untuk membuat pelaburan apabila ada sejumlah wang, kononnya boleh memberikan pulangan lumayan. 

Melabur semestinya berisiko dan mungkin memakan masa namun ada yang tidak berfikir panjang serta menghabiskan wang itu tanpa matlamat kewangan jelas. 

“Justeru, tetapkan matlamat, misalnya jika mahu mengeluarkan caruman daripada dana persaraan, pastikan pengeluaran itu mendapatkan hasil berlipat ganda dan berfaedah seperti digunakan untuk meningkatkan perlindungan risiko insurans, takaful atau meningkatkan kemahiran,” katanya ketika dihubungi, BH. 

Mohamad Fazli yang juga Timbalan Dekan Pengajian Siswazah dan Jaringan Industri dan Masyarakat, Universiti Putra Malaysia, berkata dua strategi ketika pandemik COVID-19 ialah mengawal perbelanjaan dan meningkatkan pendapatan terutama dalam keadaan ekonomi tidak stabil sekarang. 

“Misalnya, keluarkan dana persaraan sekiranya benar-benar terdesak dan menggunakan wang itu untuk meningkatkan ekonomi gig, persediaan menghadapi masa sukar, menguruskan hutang dan jangan memenuhi kehendak semasa. 

“Kajian Bank Negara pada 2018 mendapati, hanya ada 48 peratus responden yang ada simpanan RM1,000 dan 52 peratus lagi mengakui sukar berbuat demikian. 

“Sedangkan, jangka hayat orang Malaysia dijangka hingga usia 73 hingga 78 tahun. Jadi, bagaimana untuk bertahan bagi tempoh 15 tahun mendatang selepas usia persaraan, 55 tahun,” katanya.

Sementara itu, juruukur bahan, Mohd Ridzuan Yahya, 36, berkata setiap individu perlu merangka masa depan persaraan memandangkan pada ketika itu sudah tiada pendapatan tetap hingga memaksa ramai perlu bekerja pada usia emas demi kelangsungan hidup. 

“Dana persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), contohnya tidak cukup untuk menampung hidup jika seseorang itu masih tetap mempunyai komitmen, tiada simpanan lain dan memang keadaan sekarang memerlukan kita mempelbagaikan simpanan dan pelaburan. 

“Justeru, bagi menjamin masa depan sebaik-baiknya kita mengembangkan simpanan dalam unit amanah, takaful, memiliki pendapatan sampingan serta mendapatkan nasihat pelaburan untuk memastikan tidak sengsara ketika usia tua,” katanya juga perunding kewangan dan takaful. 

Kakitangan agensi kerajaan, Ather Tatu, 36, berkata setiap individu perlu membuat caruman serta simpanan untuk hari tua yang bukan sahaja untuk perbelanjaan kehidupan, tetapi kegunaan kecemasan seperti sakit dan perkara di luar jangkaan termasuk meninggal dunia. 

“Kerajaan baru-baru ini, membenarkan pencarum mengeluarkan caruman KWSP sebanyak RM10,000 yang boleh digunakan bagi menampung kos sara hidup, terutama mereka yang hilang mata pencarian, dibuang kerja dan sebagainya.  

“Maka dana itu bermanfaat demi kelangsungan hidup serta wajar digunakan dengan cermat dan berhemat, sekali gus membezakan di antara kehendak dan keperluan. Didik dalam diri berjimat cermat dan sentiasa menabung. Apabila mempunyai lebihan wang pelbagaikan simpanan, banyak agensi perbankan yang menawarkan simpanan. 

“Memetik nasihat pelabur terkenal dan paling berjaya iaitu Warren Buffet, Dont put your eggs in one basket, maka melabur, menyimpan serta mencarum selagi ada kemampuan, kerana kita melakukan demi kebaikan diri dan keluarga,” katanya. 

Ahli perniagaan, Shubasini Rajkumar, 32, berkata, beliau menetapkan matlamat kewangan setiap tahun dengan memperuntukkan sejumlah simpanan daripada gaji dan tidak membelanjakannya. 

“Selain itu, membuat dan mengekalkan akaun berasingan membantu saya mengekalkan kebiasaan menyimpan serta mencapai matlamat simpanan jangka panjang kerana ia penting untuk perancangan persaraan sekurang-kurang bertahan 30 tahun atau lebih. 

“Justeru, perancangan saya juga mesti mempertimbangkan segala perbelanjaan harian dan sehinggalah saya bersara. 

“Sebaik-baiknya, pelbagaikan platform lain untuk pelaburan yang sesuai untuk mencapai tujuan itu, simpanan tetap dan sijil deposit bagi memastikan keperluan persaraan mencukupi,” katanya.

sumber: Berita Harian

Please follow and like us: