Nota Cinta 96

Lata Kare, seorang wanita tua berusia 67 tahun. Berasal dari wilayah kecil bernama Baramathi di India.

Lata kare tinggal bersama suami di sebuah rumah usang. Hidupnya serba kekurangan. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Begitulah dia menjalani hidup.

Satu hari, suaminya sakit. Sakitnya tidak seperti biasa. Suaminya perlu dibawa ke hospital. Tetapi Lata Kare tak ada duit.

Tanpa fikir panjang, Lata Kare terus ketuk pintu rumah jiran-jirannya untuk minta bantuan.
Selepas duitnya cukup. Terus mereka pergi ke hospital.

Semasa di hospital, doktor beritahu bahawa suaminya perlu dapatkan rawatan lanjutan. Masalahnya hospital tersebut tak cukup peralatan.

Doktor mencadangkan kepada Lata Kare untuk pergi ke sebuah hospital lain. Doktor juga beritahu kos rawatan itu sekitar 5000 rupee.

Apabila mendengar jumlah besar itu, Lata Kare kaku terdiam seketika sebelum dia berlari keluar dari hospital menuju ke jalan besar. Langkahnya penuh juraian air mata.

Di tepi jalan, Lata Kare meraung penuh kedukaan. Dia angkat tangan ke langit, dan berkata
“Oh, Tuhan. Mengapa aku disiksa begini? Tidak cukupkah aku disiksa selama ini.”

Laungan tangisan si tua itu telah menarik perhatian orang yang lalu lalang di situ. Ramai yang memerhati dengan perasaan sebak sehingga ada juga yang turut sama mengalirkan air mata.

Dengan langkah longlai, disapu air mata tadi dengan hujung sarinya.
Lata Kare masuk semula ke hospital bertemu suaminya.

Dia berkata kepada suaminya bahawa dia tak mampu untuk bayar kos rawatan itu.

Melangkahlah kedua-duanya keluar dari hospital dengan langkah yang longlai. Sambil berpimpin tangan mereka menuju ke jalanan untuk pulang ke rumah.

Dalam perjalanan, si suami berkata
“Aku lapar. Aku belum makan lagi.”

Lalu bergegaslah Lata Kare mencari makanan buat suami tercinta. Dengan sedikit wang yang ada, dapatlah dia membeli 2 keping samosa.

Samosa yang dibalut surat khabar itu dibawa dan diberi kepada suami.

Suami mengambil dan terus memasukkan ke dalam mulutnya. Lata Kare melihat suaminya makan dengan begitu nikmat sekali.

Ternyata suaminya begitu lapar. Ketika suaminya sedang makan, Lata Kare merenung memikirkan nasib suaminya.

Dia pasrah dan buntu memikirkan jalan  untuk meneruskan rawatan suaminya. Air matanya mengalir menahan sebak sehingga menitis ke atas surat khabar yang dipegangnya.

Lata Kare berfikir, apakah harinya bersama suami bakal berakhir sedikit masa lagi. Apakah masih punya sisa hidup bersama suaminya.

Atau, ianya merupakan detik-detik akhir perjuangan hidupnya bersama suami.

Dalam linangan air mata itu, matanya terpandang pada helaian kertas yang dipegangnya. Dia mendapati satu pertandingan marathon yang hadiahnya adalah 5000 rupee.

Tanpa berfikir panjang, Lata Kare tekad untuk dapatkan 5000 rupee tersebut. Baginya, itu adalah peluang terakhir untuk menyelamatkan suaminya.

Hari pertandingan, dengan hanya memakai sari lusuh tanpa kasut, Lata Kare tiba di meja pendaftaran.

Petugas di kaunter melihat Lata Kare dari kepala hingga ke kaki. Wanita tua, uban banyak di kepala, kulitnya kedut sini sana, bersari lusuh dan berkaki ayam.

Mustahil, mustahil. Apakah ini gurauan bisik hati petugas. Mana mungkin nenek tua ini bisa berlari dengan kondisinya begini.

Petugas itu terpaksa menolak pendaftaran Lata Kare.

Akibatnya, menangislah si tua ini sehingga dia sujud di kaki petugas tadi.

Lata Kare merayu dan terus merayu dengan linangan air mata berjujuran laju membasahi sarinya.

Petugas mula berasa serba salah. Banyak mata sedang memerhati. Akhirnya Lata Kare dibenarkan menyertai pertandingan tersebut.

Apakah mampu si tua untuk bersaing dengan orang muda. Si tua hanya berkaki ayam sedangkan yang lain lengkap berpakaian sukan.

Lata Kare menyingsing sarinya dan mengikatnya di pinggang.

Penonton yang berada di kiri kanan seperti tidak percaya. Malah ada yang memerli dan mengejeknya. Apakah gila wanita tua ini. Apa dia tak sedar dirinya sudah tua.

Pelbagai sangkaan dan kecaman di lontarkan kepada Lata Kare.

Lata Kare tak pedulikan apa yang ada di sekelilingnya. Dia fokus memandang jalan.

Ketika pistol ditembak, Lata Kate terus berlari dan berlari dengan bersungguh-sungguh.

Wartawan BBC yang pada ketika itu membuat liputan. Mengatakan bahawa
Lata Kare berlari seolah budak belasan tahun,

Lariannya laju. Dia memotong seorang demi seorang. Dia berlari dengan penuh semangat.

Kakinya terluka, darahnya mula menitis sedikit demi sedikit.

Lata Kare tak pedulikan kesakitannya, dia meneruskan larian sehingga akhirnya dia menjadi orang pertama yang melintasi garisan penamat.

Detik itu membuatkan ramai yang terpaku. Seolah tidak percaya apa yang berlaku.

Nenek tua, usia 67 tahun, berlari marathon dengan hanya memakai sari dan berkaki ayam, telah mengalahkan peserta-peserta lain yang lebih jauh lebih muda darinya.

Semua orang di jalanan menjerit menyatakan sokongan kepadanya. Orang ramai bertepuk tangan meraikan satu sejarah. Semua orang salute kepada Lata Kare ketika itu.

Dan apabila ditemuramah oleh wartawan, apakah yang menyebabkan makcik sebegitu kuat untuk meneruskan marathon ini di usia begini? Dengan kondisi seperti ini?

Jawab Lata Kare dengan berjujuran air mata.

“Aku berlari bersama dengan nyawa suamiku.”

Kenapa Lata Kare mampu memenangi pertandingan itu.

Kerana Lata Kare punya Grand Why yang jelas. Dia berlari atas satu sebab yang jelas. Walaupun pada awalnya ia agak mustahil, dengan Grand Why yang jelas, Lata Kare mampu realisasikannya.

Apakah Grand Why kita?

Selain itu, ini juga makna sebuah cinta dan kasih sayang. Tak ramai pasangan sanggup berkorban seperti ini mutakhir ni. Jika kita layan pasangan dengan baik, InsyaAllah pasangan juga akan melayani kita dengan lebih baik.

Ini bukan cerita dongeng ye, ia adalah kisah benar. Tahun 2020 ni sudah keluar filem kisah Lata Kare ini.

#zubizo

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *