Wasiat Mudahkan Pengurusan Harta

HARTA perlu diagihkan kepada pihak-pihak sebagaimana yang dikehendaki mengikut wasiat. – Foto hiasan

Oleh Ahmad Shukri Yusoff

bhagama@bh.com.my

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: “Kamu diwajibkan, apabila seseorang daripada kamu hampir mati, jika dia ada meninggalkan harta, (hendaklah dia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan agama) sebagai suatu kewajipan atas orang yang bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 180)

Allah SWT menjelaskan, wasiat sebagai satu kewajipan kepada orang yang bertakwa. Pelaksanaan wasiat hendaklah diletakkan pada peringkat keutamaan dalam pembahagian harta peninggalan si mati.

Islam membenarkan seseorang yang ada tanda-tanda hampir mati supaya meninggalkan wasiat mengikut hukum dan peraturan tertentu, bagi membolehkan sebahagian hartanya diagihkan kepada pihak-pihak yang dikehendaki mengikut wasiatnya.

Majoriti fuqaha berpendapat, hukum wasiat adalah sunat dan umat Islam digalakkan untuk berwasiat kepada ahli keluarga yang tidak mendapat pembahagian pusaka dengan kadar tidak melebihi satu pertiga.

Ibn Hazm Al-Zahiri berpendapat, wajib berwasiat kepada kaum kerabat yang tidak mendapat bahagian harta pusaka. Menurut Ibn Hazm, penurunan ayat pusaka yang menerangkan hak faraid bagi waris tidak menasakhkan kewajipan berwasiat bahkan penurunan ayat itu dikhususkan bagi waris yang tidak mendapat pusaka disebabkan halangan tertentu.

Kewajipan tidak akan gugur

Dalam hal ini Ibn Hazm menegaskan, kewajipan itu tidak akan gugur meskipun selepas kematian seorang Muslim dan menjadi kewajipan kepada waris atau pentadbir harta untuk menyempurnakan tanggungjawab menurut kadar yang berpatutan tanpa menimbulkan kesusahan kepada waris ditinggalkan.

Syariat ini membuktikan Islam menghormati kehendak manusia untuk diuruskan harta peninggalan selepas kematian mengikut kehendaknya, di samping memelihara hak kaum kerabat yang dia bertanggungjawab memberi nafkah kepada mereka semasa hidupnya seperti ibu, bapa serta kaum kerabat terdekat.

Sebelum kedatangan Islam, orang Arab tidak pernah mengetahui adanya undang-undang berkenaan harta, khususnya harta pusaka dan wasiat bagi membolehkan harta diurus selepas peninggalan si mati mengikut kehendaknya semasa hidup.

Peraturan yang dipakai pada ketika itu ialah apabila seseorang meninggal dunia, hartanya secara automatik berpindah kepada kaum kerabatnya yang terdekat dan terkuat hubungan dengan si mati, manakala waris yang lemah dan jauh tidak akan mendapat apaapa walaupun si mati mempunyai hasrat ketika hidupnya supaya sebahagian harta peninggalannya diberi kepada mereka.

Setelah kedatangan Islam, barulah undang-undang berkenaan pengagihan harta, termasuk undang-undang pusaka dan wasiat diturunkan.

Sabda Rasulullah SAW: “Tidak berhak bagi seseorang Islam yang mempunyai sesuatu (sama ada harta banyak atau sedikit) yang mahu diwasiatkannya tidur walaupun dua malam melainkan sepatutnya wasiat itu telah sedia bertulis di sisinya.” (Riwayat al-Bukhari)

Peninggalan si mati dibahagi dengan adil

Keterangan mengenai wasiat sama ada daripada al-Quran atau hadis menunjukkan peninggalan si mati dibahagikan dengan adil, saksama dan tidak hanya terkumpul pada kerabat yang berhak mewarisinya sahaja.

Syeikh Tantawi di dalam tafsirnya menyebut, pengertian secara baik ialah dengan cara yang adil seperti diperintahkan oleh syariah iaitu tidak melebihi satu pertiga, tidak berwasiat hanya kepada yang kaya dan meninggalkan yang miskin, berwasiat kepada kaum kerabat tetapi meninggalkan mereka lebih memerlukan.

Sesungguhnya wasiat adalah ibadah akhir hayat bagi menambahkan darjah ubudiyah kepada Allah SWT untuk mengerjakan amalan kebajikan tertinggal melalui bantuan yang berkesan kepada kaum kerabat yang ditinggalkannya.

Seorang sahabat bernama Said Bin Abu Waqqas yang sakit dan merasakan kemungkinan mati boleh datang kepadanya pada bila-bila masa pernah bertanya Nabi SAW ketika Baginda datang menziarahinya. Katanya, “Rasulullah SAW melawat aku pada tahun haji wada’ ketika aku sedang sakit tenat.

Aku memberitahu Baginda bahawa aku seperti yang diketahuinya sedang sakit tenat, sedangkan aku mempunyai harta, tiada siapa yang akan mempusakai hartaku itu kecuali seorang anak perempuanku sahaja, Aku bertanya Baginda Rasulullah: “Bolehkah aku (meninggalkan wasiat supaya) bersedekah sebanyak dua pertiga daripada keseluruhan hartaku?” Baginda bersabda: “Tidak boleh (sebanyak itu)”.

Aku bertanya lagi: Bolehkah aku bersedekah separuh daripadanya? Sabda Baginda: “Separuh pun tidak boleh. Aku bertanya lagi: “Bolehkah aku berwasiat supaya bersedekah satu pertiga sahaja daripadanya?” Sabda baginda: “Satu pertiga? Ya, satu pertiga pun banyak atau besar kadarnya. Andainya engkau tinggalkan waris engkau kaya raya, lebih baik bagimu daripada meninggalkan mereka miskin dan bergantung harap kepada orang lain.” (Riwayat al-Bukhari)

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah telah memberikan kepada tiap-tiap yang berhak apa yang menjadi haknya. Dan ketahuilah bahawa tidak ada wasiat bagi seorang yang menjadi waris.” (Riwayat Abu Daud)

Terima lebih jika perlu

Namun, sebahagian ulama membolehkan ahli waris menerima pusaka asalkan dia lebih memerlukan seperti waris yang miskin dan tidak mampu bekerja. Jadi adalah suatu tindakan bijak dan baik jika waris yang kaya tidak disamakan dengan yang miskin dan masih kuat berusaha dengan sudah lemah.

Jika seorang kafir menganut Islam, lalu meninggal dunia sedang keduadua ibu bapanya masih tetap kafir, dia berhak memberikan wasiat kepada ibu bapanya supaya hati mereka menjadi lembut. Allah SWT telah mengajar hamba-Nya melayani ibu bapa dengan baik walaupun mereka bukan beragama Islam.

Penulis ialah perunding motivasi Islam Fitrah Power Resources

sumber: Berita Harian

Sekiranya anda berminat untuk kembangkan wang anda di dalam salah satu instrumen pelaburan masa kini, boleh lawati di sini.

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *