27/07/2021

Ahmad Hanizam

Kebebasan Kewangan Untuk Semua!

Senang Menjual Bila Kepercayaan Telah Ada

Bagi mendapatkan kepercayaan prospek/pelanggan kita perlulah sentiasa kreatif bagi membentuk dan mendapat perhubungan yang lebih akrab dan baik. Cara paling mudah adalah dengan mendapatkan kepercayaan mereka terlebih dahulu.

Bila dah percaya kata orang, jual apa pun senang. Bila prospek/pelanggan percaya segala pandangan, keputusan dan reaksi kita boleh diterima dengan sebaik yang mungkin.

Pertajamkan lagi skil kemahiran yang ada. Sebelum mereka fahami kehendak kita, pelajari dahulu supaya kita kena fahami keadaan mereka terlebih dahulu. Jangan anggap mudah dan senang kerana apabila dikatakan berhubung dengan manusia, semuanya harus dijaga dengan teliti dan bersungguh-sungguh, tiada istilah main-main atau kebetulan sahaja.

Antara kemahiran dan situasi yang diperlukan untuk kita mendapatkan kepercayaan mereka terhadap kita adalah dengan:

Fahami masa mereka

Bila prospek/pelanggan bersetuju bertemu dengan kita melalui temu janji yang ditetapkan satu kejayaan awal telah di peroleh. Jangan mendesak tapi beri cadangan yang boleh dirundingkan untuk disesuaikan dengan masa yang ada pada mereka.

Jangan sama sekali fikirkan masa kita tetapi fikirkan tentang masa mereka terlebih dahulu. Kita yang berkehendakkan mereka dan bukannya mereka yang berkehendakkan kita.

Dengan cari ini, menghormati masa percuma mereka sekurang-kurangnya kita boleh memperoleh kepercayaan awal dari mereka terhadap kita.

Hadirkan diri tepat pada masanya

Janji mesti ditepati jangan sama sekali dimungkiri. Itulah janji orang Islam, Muslim sejati. Kena lakukan walaupun sesibuk yang macam mana sekalipun kerana kita telah pun berjanji.

Sekali kita memungkiri hanya kerana lewat sampai ke tempat yang telah dijanjikan, sampai bila-bila kemudian hari nanti orang akan hilang kepercayaannya kepada kita dengan begitu mudah sama sekali.

Berhemah dan merendah diri

Jangan menyombong apa tah lagi bertemu buat kali pertamanya. Lebih baik merendah diri dari menyombong tak tentu hala. Orang SALES tak boleh sombong nanti tiada orang pula nak berurusan dengan kita.

Nak jadi orang yang sentiasa merendah diri dan berhemah latihannya cukup mudah sekali. Lakukan solat apabila kita bersujud ke hadrat Allah biarlah lama sedikit. Cukup mudah bukan. Amalkan ia. insya-Allah akan berubah nanti perwatakan kita pula kepada orang lain.

Tawarkan yang ada kaitan dengannya

Gunakan kecerdikan yang ada pada kita dalam memberikan tawaran produk kepada prospek/pelanggan. biar mereka tahu apa yang mereka boleh manfaatkan dan gunakan jika mereka menerima tawaran kita. Cari kesesuaiannya dengan fahami dan ketahui apa yang dimahukan.

Galakkan interaksi

Berikan kefahaman yang jelas, ringkas dan mudah difahami. Perbanyakan soalan-soalan yang boleh menarik minat beliau untuk berinteraksi kepada kita. Lagi banyak prospek/pelanggan bercakap lagi mudah untuk kita berinteraksi bersamanya dan ketahui apa masalah yang ditanggungnya selama ini untuk kita membantu.

Kalau selepas presentasi dan terus bertanyakan setuju atau tidak, sudah tentu jawapannya tidak sama sekali dari prospek/pelanggan tersebut.

Hormati keputusan mereka

Sekali gagal bukan bermakna kita gagal selama-lamanya. Hormati keputusan mereka. Jangan dijolok lagi sarang tebuan. Cukup lah sekali dahulu. Mungkin di waktu ini prospek/pelanggan tidak dapat menerimanya manalah tahu di masa hadapan jika ia berminat pula. Ini semua ketentuan Allah, yang penting kita berusaha terlebih dahulu.

Fikirkan segala pergerakan kita adalah untuk jangka masa panjang dan bukannya pada masa tersebut sahaja. Sabda Rasulullah s.a.w: “Seorang Muslim (yang baik) adalah yang tangan dan lisannya tidak menyakiti orang lain.” (HR. Bukhari)

Nak mudah untuk menjual kena mudah dapatkan kepercayaan mereka kepada kita. Bukan janji kosong atau kelentong yang bukan-bukan.

Kalau kita dah berjanji usahakan untuk ditunaikan dan jangan sama sekali suka-suka hati berjanji sahaja. Kalau ada masalah maklumkan kepada mereka apa kesukaran yang telah kita hadapi selama ini.

Jangan mudah kecewa atau mudah melatah jika kita masih belum lagi mendapat kepercayaan mereka. Yang penting buktikan apa yang telah kita perkatakan kepada mereka tanpa berbelah bagi.

Saya ada tawarkan khidmat nasihat kewangan. Sila klik DI SINI.

Kita memberikan keyakinan kepada mereka sudah tentu mereka juga akan berikan keyakinannya kepada kita. 

Please follow and like us: